Saya pernah melaksanakan penulisan jurnal pembelajaran matematik pada tahun 2017 lagi walaubagaimanapun ia tidak diteruskan. Pada tahun 2019 saya memulakan kembali penulisan jurnal pembelajaran matematik. Kini penulisan jurnal pembelajaran dikenali sebagai “Apa yang saya belajar hari ini?” Idea untuk menulis jurnal pembelajaran tercetus selepas saya menghadiri kursus yang dikendalikan oleh Dr. Yeap Ban Har di RESCAM, Pulau Pinang. Selain daripada itu, penulisan jurnal juga tercetus apabila saya selalu menyoal murid tentang apa yang mereka belajar hari ini? Malangnya murid memberikan respon yang terlalu umum iaitu “kami belajar matematik” walaupun pada hari itu mereka belajar tentang kemahiran seperti membundar. Murid juga tidak dapat menerangkan apa yang mereka belajar sehingga mereka dibimbing oleh saya. Perkara ini amat membimbangkan saya. Tahun ini saya menggunakan buku bergaris sebagai buku Matematik murid menulis jurnal pembelajaran pada buku yang sama dengan latihan. Pada awal perlaksanaan penulisan jurnal pembelajaran dalam kalangan murid, isi kandungannya tidaklah seperti yang saya harapkan. Biasanya murid akan menyoal saya kembali “cikgu, nak tulis apa?” Saya membimbing murid dengan menerangkan isi yang patut ada dalam penulisan jurnal, antaranya (a) perkara baru yang dipelajari seperti “perkataan baru” atau “kaedah baru” (b) contoh huraikan perkara (a) dengan contoh sendiri (c) perasaan, seperti seronok, membosankan atau tidak faham sesuatu. (d) harapan. Contoh Penulisan Jurnal Murid: Sangat ringkas dan murid tidak menghuraikan apa yang telah dipelajari secara mendalam. Selepas 3 minggu melaksanakan penulisan jurnal, saya mendapati 5 jenis penulisan jurnal murid. (a) menulis dengan banyak dan berkait rapat dengan perkara yang dipelajari. (b) menulis dengan banyak tetapi kurang berkait rapat dengan perkara yang dipelajari. (c) menulis dengan banyak tetapi tidak berkait rapat dengan perkara yang dipelajari. (d) menulis dengan sedikit tetapi berkait rapat dengan perkara yang dipelajari. (e) menulis dengan sedikit serta penulisan tiada kaitan dengan perkara yang dipelajari. HASIL PENULISAN JURNAL MURID Hasil kerja murid tahun 6, penulisan jurnalnya merangkumi 2 muka surat. Murid ini menulis dengan gaya penulisan yang sangat menarik. Murid ini menulis dengan banyak dan berkait rapat dengan perkara yang dipelajari. Hasil kerja murid tahun 3, penulisan jurnalnya turut merangkumi 2 muka surat. Penulisannya ringkas tetapi banyak menggunakan gambar rajah. Untuk murid tahun 3, boleh saya katakan murid ini menulis dengan banyak dan berkait rapat dengan perkara yang dipelajari. Hasil kerja murid tahun 3, penulisan jurnalnya turut merangkumi 2 muka surat. Penulisannya lebih banyak berbanding murid di atas, banyak menggunakan gambar rajah. tetapi tidak berkaitan lansung dengan apa yang dipelajari. Murid ini menulis dengan banyak tetapi tidak berkait rapat dengan perkara yang dipelajari. Saya perlu berikan perhatian kepada murid ini. Adakah dia tidak memberikan tumpuan semasa mengajar, tidak faham, sukar untuk mengingat? Hasil Kerja Murid Tahun 5, penerangannya ringkas, mudah difahami dan berkait rapat dengan apa yang dipelajari. Ini merupakan hasil penulisan jurnal murid yang sangat baik. Hasil Kerja Murid Tahun 6, penerangannya ringkas, mudah difahami dan berkait rapat dengan apa yang dipelajari tetapi tidak kemas. Ini merupakan hasil penulisan jurnal murid ringkas tetapi mempunyai kaitan dengan apa yang dipelajari serta menulis contoh-contoh dengan idea sendiri. Perhatian perlu diberikan kepada murid yang menulis seperti di (b) dan (c). Walaubagaimanapun murid yang menulis dengan sedikit juga ada kategorinya, menulis dengan sedikit tetapi ada isi penting yang berkaitan dengan pembelajaran dan sebaliknya. Murid yang menulis sedikit pada pengamatan saya bukanlah murid yang tidak fokus di dalam kelas atau tidak dapat mengimbas kembali proses PdPc tetapi ia juga berkait rapat dengan kemahiran menulis murid. Penyelesaian kepada masalah murid (b), (c), (d) dan (e) adalah memberi kebebasan kepada mereka untuk menulis jurnal pembelajaran bersama-sama dengan lukisan atau lakaran untuk menerangkan idea atau mengingat kembali apa yang telah mereka pelajari semasa di dalam bilik darjah. Melukis juga merupakan salah satu bentuk komunikasi bukan lisan yang dapat membantu murid untuk menerangkan idea matematik. Saya membuat rujukan dari beberapa laman web untuk memperbaiki lagi perlaksanaan penulisan pembelajaran Matematik. Perbincangan penulisan jurnal yang dikenal pasti adalah dari aspek perlaksanaan, kandungan penulisan jurnal dan ciri-ciri jurnal yang baik. (a) Perlaksanaan Penulisan Jurnal Penulisan jurnal yang telah saya laksanakan, murid menulis jurnal semasa di dalam kelas dan murid menulis jurnal sebagai tugasan. Berdasarkan laman web yang saya rujuk perlaksanaannya sedikit berbeza, murid diperuntukkan masa khas untuk menulis jurnal dan ia dibuat secara mingguan. (b) Kandungan Penulisan Jurnal Murid saya dikehendaki menulis jurnal mengenai perkara yang mereka belajar berserta contoh sendiri bagi menjelaskan apa yang telah mereka belajar. Walaubagaimanapun, berdasarkan rujukan pada laman web saya mendapati penulisan jurnal adalah berkaitan dengan penyelesaian masalah matematik. Soalan penyelesaian masalah yang diberikan bersifat open ended tidak memperuntukan satu jawapan dan ia bertujuan untuk melihat idea dan keupayaan murid menggunakan kemahiran matematik untuk menyelesaikan masalah. Berikut merupakan aktiviti penulisan jurnal murid sebaik sahaja selesai sesi perbincangan.
0 Comments
Leave a Reply. |
SUPPORT US
Telegram eMathPROJEK SEPILING YOUNG ENGINEER 100% Dana berjaya dikumpul. Terima Kasih Semua!
![]() Arkib
December 2020
KANDUNGAN
All
Bilangan Pengujung |