Sistem 12 jam, Sistem 24 jam, Sistem Pemenggalan Waktu dan Aplikasinya dalam Kehidupan Seharian.19/5/2017 Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga pembaca sekalian sihat dan sentiasa dirahmati Allah s.w.t. Pada zaman dahulu sebelum wujudnya sistem waktu, manusia menyatakan waktu dengan sistem yang mudah iaitu pagi, tengah hari, petang atau malam. Kemudian manusia mula mengukur masa dengan mengukur menggunakan jam pasir, lilin atau titisan air. Kalau kawan-kawan peminat drama Korea yang berlatar belakangkan zaman dahulu kala, diorang menggunakan alat muzik untuk menandakan masa pada ketika itu. Begitu juga dalam cerita Melayu dulu-dulu, contohnya cerita P. Ramlee ada babak memukul gendang untuk memberi tahu masa. Tahun 2015 ada seorang murid saya yang selalu mengemukakan soalan yang membuatkan saya banyak berfikir. Tahun ini 2017 dia dah masuk tingkatan 1. Banyak soalan-soalan yang dia tanya pada saya, bukan sebab dia nak mencabar saya tetapi murid saya ni jenis, otak dia akan terima jika ada penjelasan yang ada fakta dan logik. Soalan dia bukan soalan yang menjengkelkan tetapi agak mencabar untuk diterangkan. Antaranya, cikgu Saffuan kenapa… a) sebulan ada yang 30 hari, ada yang 31 hari dan kenapa pula bulan Februari ada 29 hari dan ada yang 28 hari? Kenapa tak bagi je satu bulan tu 30 hari, kan senang. b) setahun ada 365 hari dan ada tahun 366 hari? Mencabar tak? Antara saya “ignore” atau mengkaji dan mencari jawapan bagi setiap soalan murid saya. Saya memilih untuk mencari jawapan, alhamdulillah banyak yang saya belajar dari soalan mencabar anak murid saya tu. Dan ia membantu saya lebih mendalami konsep masa sebelum saya pergi lebih jauh kepada aplikasi dan kaedahnya. Saya tergerak untuk menulis entry ini kerana saya pernah mendapat soalan dari murid saya yang sekarang ni tahun 6 (ada dua orang je murid tahun 6 sekolah saya), soalannya mudah “cikgu, kenapa kena tukar kepada sistem 24 jam untuk cari tempoh masa? “Dalam entry kali ini saya akan kongsikan tentang Sistem 12 jam, Sistem 24 jam, Sistem Pemenggalan Waktu, Hubungannya dan Aplikasi Dalam Kehidupan Seharian, kemudian saya lanjutkan penulisan ini sehingga ke aplikasi untuk mengira tempoh masa. Apa yang saya kongsikan bukannya nak cari salah siapa-siapa, tapi lebih kepada memberi penjelasan kenapa wujudnya Sistem 12 jam dan Sistem 24 jam dan fungsinya dalam kehidupan seharian. Penjelasan ini sebagai maklumat tambahan dan aplikasinya dalam kehidupan seharian. Dan mungkin bagi yang membaca entry ini akan berkongsi dengan murid, jika ada yang bertanya. Sistem 12 jam dan Sistem 24 jam Kenapa sistem 12 jam gunakan perkataan “pukul” untuk menyatakan waktu? Kenapa kena tukar kepada sistem 24 jam untuk cari tempoh masa? Dengan rasa ingin tahun yang amat mendalam murid saya soal lagi “Cikgu… kalau pukul 1:00 p.m. tengah hari ke petang?” Tiba-tiba dalam kepala saya terlintas tentang “Sistem Pemenggalan Waktu” Seterusnya saya mulakan entry ini dengan persoalan-persoalan berikut sehinggalah kenapa sistem 12 jam diguna pakai dan kenapa sistem ini menggunakan a.m. dan p.m. Pukul 10:00 a.m. – Pasa masa ini pagi atau petang? Pukul 12:00 p.m. – Bagaimana pula dengan yang ini? Pukul 12:30 p.m. – Adakah Pukul 12:30 p.m. tengah hari? Pukul 1:00 p.m. – Adakah Pukul 1.00 p.m. masih lagi tengah hari atau petang? Pukul 6:30 p.m. – Yang ni pulak? Dah malam ke atau masih petang? Saya ambil satu contoh “Pukul 6:30 p.m. – Yang ni pulak? Dah malam ke atau masih petang?” saya akan kaitkan dengan sistem 12 jam, sistem 24 jam dan sistem pemenggalan waktu yang kita gunakan. Saya akan menggunakan contoh waktu maghrib bagi dua lokasi yang berbeza di negara kita, di Zon 1 Sabah dan Perlis. Sebelum tu, saya terangkan maksud waktu maghrib, berdasarkan maklumat yang saya baca, waktu maghrib ialah waktu bermula terbenam matahari hingga hilang cahaya kemerahan di ufuk barat. Pendek kata kalau kita tengok waktu maghrib pada kalendar atau jadual waktu berbuka puasa, ia menunjukkan masa matahari terbenam dan bermulanya waktu malam. Ia selari dengan maksud “malam” yang dinyatakan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat “malam hari waktu mulai dari matahari masuk sampai matahari terbit” Kemudian cuba lihat perbandingan sistem pemenggalan masa yang digunakan di negara kita. Dari sumber yang saya perolehi dari internet saya rumuskan dalam satu jadual supaya nampak kaitan antara sistem 12 jam, sistem 24 jam dan sistem pemenggalan waktu. Selain itu mudah untuk membuat banding beza. Jom kita tengok. Berdasarkan sistem pemenggalan waktu, di Zon 1 Sabah pada waktu maghrib masih lagi petang walaupun hakikatnya matahari sudah terbenam dan malam bermula. Sebaliknya keadaan di negeri Perlis ia sememangnya pada waktu itu sudah malam dan tepat jika dirujuk pada sistem pemenggalan waktu. Zon 1 Sabah buka puasa pada waktu petang di Perlis waktu malam, tetapi kedua-dua kawasan tersebut berbuka pada waktu maghrib kan? Di dalam buku teks Matematik tahun 6 juga ada menerangkan maksud a.m. dan p.m. Berdasarkan artikel yang saya baca di laman web npl.co.uk sistem 12 jam yang menggunakan a.m. (ante meridian) dan p.m. (post meridian) dapat mengelakkan kekeliruan. Kekeliruan tidak timbul untuk menyatakan masa pada pukul 12 tengah hari. Tetapi kekeliruan yang lebih besar timbul semasa menyatakan masa pada pukul 12 tengah malam. 12 tengah malam ke pagi? Penggunaan Pukul 12 tengah malam boleh menimbulkan persoalan “pada ketika itu hari apa?” Menyatakan masa dengan tepat amat penting kepada syarikat besar seperti syarikat penerbangan, kurier atau syarikat insurans. Penggunaan sistem 12 jam tidak menggunakan tengah hari, tengah malam dan sebagainya. Tiada istilah piawai untuk menterjemahkan 12:00 a.m. sebagai 12 tengah malam, pagi atau 12:00 p.m. sebagai tengah hari. Bagaimana pula dengan Sistem 24 jam yang tidak menyatakan a.m. atau p.m., pagi, tengah hari, petang, malam atau tengah malam? Jom kita baca situasi di bawah, Zul membeli tiket kapal terbang pada hari Isnin 19 Mei 2017 pada pukul 8:00 a.m. untuk ke Busan. Penerbangan 20 Mei 2017 pada pukul 12:50 a.m. “Saya sudah beli tiket flight, esok saya saya akan ke Busan pada pukul 12:50 a.m.” Hari apa Zul perlu pergi ke KLIA? Hari Isnin atau Selasa? Sistem 24 jam digunakan untuk menyatakan masa bermula dari tengah malam hingga ke tengah malam berikutnya yang dibahagikan kepada 24 jam. Sistem 24 jam menunjukkan berapa jam telah berlalu pada hari tertentu. Contohnya, jam 0800 pada 18 Mei 2017, bermaksud dari tengah malam sehingga pada pukul 8:00 a.m. atau pada pukul 8 pagi 18 Mei 2017, 8 jam sudah pun berlalu. Sistem 24 jam digunakan secara meluas seperti dalam ketenteraan dan juga perubatan. Sistem 24 jam dapat mengurangkan apa yang disebut sebagai “ambiguity” atau kekeliruan. Sistem 24 jam tidak menyatakan a.m. atau p.m. ataupun pagi, tengah hari, petang, malam ataupun tengah malam, tetapi menyatakan “sudah berapa jam hari tersebut berlalu”. Pengiraan tempoh bagi waktu yang berbeza antara a.m. dan p.m. Pernah tak semasa mengajar murid untuk mencari tempoh masa bagi waktu yang berbeza contohnya berapa jam antara pukul 7:00 a.m. hingga pukul 1:00 p.m. kita meminta murid menukarkannya kepada sistem 24 jam? Persoalannya kenapa perlu tukar kepada sistem 24 jam? Adakah ia disebabkan unit tak sama? Adakah a.m. dan p.m. itu unit? Untuk menjawab persoalan di atas, saya huraikan dengan pembaca sekalian satu contoh yang tak perlu tukar unit pun, jawapan akan diperoleh dengan tepat. Seperti yang dinyatakan, sistem 24 jam menunjukkan berapa jam telah berlalu pada hari tertentu. Cuba lihat pada jadual di bawah untuk mendapatkan maksud yang jelas. Sebenarnya untuk mencari tempoh, proses pengiraan bukannya menukarkan masa kepada sistem 24 jam, tetapi lebih kepada menyatakan berapa jam sudah berlalu dari tengah malam sehingga pada ketika masa dinyatakan, lihat pada jadual. Menyatakan masa atau kalau orang tanya kita sekarang pukul berapa? Masa yang kita nyatakan ia bersifat “pada ketika itu”. Tetapi kita tak dapat nak mencari tempoh berdasarkan masa. Mencari tempoh masa prosesnya saya akan menukarkan waktu tersebut dalam bentuk tempoh masa yang diukur dari tengah malam sehingga waktu pada ketika itu. Contoh situasi (Situasi 1) Peter mula kelas pada pukul 7:00 a.m.. Sesi persekolahan tamat pada pukul 1:00 p.m.. Berapa jam Peter di sekolah? Murid saya memberikan 2 penyelesaian yang berbeza, berdasarkan pemahaman mereka. Penyelesaian yang di sebelah kiri dan di sebelah kanan berbeza tetapi jawapan akhir sama dan benar. Namun langkah penyelesaian yang dilakukan pada sebelah kiri salah. Bagi murid yang menyelesaikan pengiraan seperti di sebelah kanan, dia menukarkan kepada sistem 24 jam dan mencari beza. Saya tanya kenapa buat seperti itu? Cuba berikan situasi yang berbeza (Situasi 2), Peter mula kelas pada pukul 7:00 a.m. Pada hari Rabu, sesi persekolahan tamat pada pukul 4:00 p.m. Berapa jam Peter di sekolah pada hari Rabu? Jika menggunakan kedua-dua cara yang anak murid saya gunakan, adakah pengiraan yang disebelah kiri akan memberikan jawapan yang tepat? Saya menerima kedua-dua jawapan pada situasi yang pertama, kemudian saya bimbing mereka sebagaimana yang saya kongsikan dalam entry ini pada situasi yang kedua. Untuk situasi pertama dan kedua saya gunakan kaedah pengiraan, gunakan garis masa dan model bar untuk menggambarkan apa yang sedang berlaku semasa mencari tempoh bagi waktu yang berbeza antara a.m. dan p.m. Baca Santai-santai Hakikatnya kalau orang tanya saya “nak makan tengah hari ni pukul berapa?” mungkin saya akan jawab “pukul dua belas” atau “pukul 12 tengah hari kot…” mungkin orang akan pelik kalau saya jawab “saya nak makan tengah hari pukul 12 p m (pukul 12:00 p.m.)” atau lebih pelik “saya nak makan tengah hari pukul 12 post meridian” Bagaimana orang zaman dahulu mengukur dan menyatakan waktu? Pada zaman dahulu sebelum wujudnya sistem waktu, manusia menyatakan waktu dengan sistem yang mudah iaitu pagi, tengah hari, petang atau malam. Kemudian manusia mula mengukur masa dengan mengukur menggunakan jam pasir, lilin atau titisan air. Kalau kawan-kawan peminat drama Korea yang berlatar belakangkan zaman dahulu kala, diorang menggunakan alat muzik untuk menandakan masa pada ketika itu. Begitu juga dalam cerita Melayu dulu-dulu, contohnya cerita P. Ramlee ada babak memukul gendang untuk memberi tahu masa. Kemungkinan penggunaan “pukul” yang kita guna pakai adalah kesinambungan dari apa yang nenek moyang kita gunakan pada zaman dahulu kala. Pada masa kini manusia dapat mengukur masa dengan lebih tepat, bermula dari menyatakan masa sama ada pagi petang atau malam kepada sesuatu yang dapat diukur dengan tepat. Kini manusia menggunakan jam atomik dan jam tersebut dapat memberi maklumat masa yang tepat berdasarkan putaran bumi pada paksinya. Ada pada suatu masa 1 minit bersamaan 61 saat. Kalau nak cerita yang ni dah masuk peringkat advance dah. Pernah tak kita set masa pada jam tangan, jam dinding atau jam digital berdasarkan “jam astro” atau “jam pada komputer” tetapi selepas beberapa lama, masa yang diset pada jam tangan contohnya tidak lagi sama dengan jam astro. Hehe. Kalau tak percaya boleh cuba eksperimen. Dengan adanya sistem 24 jam berbanding menyatakan waktu dengan “sistem pemenggalan waktu”, contohnya “ko buka puasa kat Sandakan pukul berapa?” Kawan jawab “aku pukul enam tujuh belas petang kot” yang kawan di Perlis pula jawab “kami bukak posa pukui tujuh dua puluh sembilan malam kot…” Kan pening, sorang petang dan sorang lagi malam. Haha. Lagi pening kalau berada di negara hemisfera utara pada musim sejuk. Solat Zuhur di sana jika saya beritahu dalam sistem 24 jam, jam 1130 tetapi kalau saya beritahu gunakan sistem pemenggalan waktu “kami solat zuhur di UK pukul sebelas setengah pagi” Bagi individu yang tak biasa, mungkin mereka beranggapan yang solat zuhur pagi-pagi ni ajar sesat. Ni contoh, saya gurau je tau. Kesimpulannya, Sistem 12 jam menyatakan waktu menggunakan a.m. sebagai rujukan waktu selepas tengah malam hingga sebelum tengah hari dan p.m. sebagai rujukan waktu dari tengah hari hingga sebelum tengah malam (boleh rujuk buku teks Matematik Tahun 6). Tiada istilah yang piawai atau yang seragam digunakan untuk menyebut waktu selepas tengah malam, contohnya pukul 12:30 a.m. sebagai “tengah malam” atau “pagi”. Murid tahun 1 diperkenalkan dengan konsep masa dengan menyatakan waktu contohnya waktu "pagi" pukul berapa mereka mula sesi persekolahan. Di sini ada gunanya Sistem Pemenggalan Waktu, sebagai panduan kepada guru untuk membimbing murid bagi menghubungkait antara pagi, tengah hari, petang dan malam dengan menyatakan waktu. Begitu juga dengan menyebut waktu selepas tengah hari, contohnya jika pukul 12:00 p.m. sebagai 12 tengah hari atau pukul 1:00 p.m. sebagai 1 petang atau 1 tengah hari sebagaimana yang dinyatakan dalam sistem pemenggalan waktu. Sistem pemenggalan waktu boleh saya katakan ia digunakan di negara kita sahaja. Pagi, tengah hari petang atau malam mungkin boleh digunakan sesuai mengikut tempat. Sistem yang digunakan membantu untuk mengurangkan kekeliruan dan banyak berjasa dalam kehidupan seharian kita. Sebagai guru saya suka berkongsi dan mendalami tentang sesuatu sistem yang digunakan dan murid saya sangat suka saya menceritakan kepada mereka tentang hal-hal seperti ini. Kadang-kadang tu murid saya tak dapat terima kalau saya tak berikan penjelasan yang logik dan berdasarkan fakta. Akhir kata, penjelasan saya bukanlah untuk menafikan mana-mana sistem yang diguna pakai, tetapi ia lebih kepada menyampaikan maklumat tambahan. Sumber Rujukan: Kamus Dewan Edisi Keempat Laman web National Physical Laboratory Laman web Sirim Malaysia Laman web waktusolat.net Buku Teks Matematik Tahun 6 Download Nota Tentang Mengapa perlu Tukar kepada Sistem 24 Jam untuk Mencari Tempoh Masa diantara Waktu berbeza ![]()
1 Comment
|
SUPPORT US
Telegram eMathPROJEK SEPILING YOUNG ENGINEER 100% Dana berjaya dikumpul. Terima Kasih Semua!
![]() Arkib
December 2020
KANDUNGAN
All
Bilangan Pengujung |