Assalamualaikum dan salam sejahtera. Aku kongsikan kenangan aku mengajar di sekolah pedalaman Sarawak. Aku kongsikan juga lagu "Pendidik Bumi Kenyalang" Harap pembaca boleh mainkan lagu ini sambil membaca kisah aku. Kita akan menyambut Hari Guru dalam beberapa hari lagi. Tema Tahun ini Berguru Demi Ilmu, Membina Generasi Baharu. Semasa aku menulis kisah ini, dah masuk tahun ke enam aku berkhidmat di Bumi Kenyalang dan bergelar Pendidik Bumi Kenyalang. Alhamdulillah aku sendiri tak sangka masa berlalu dengan pantas. Kini aku kenangkan kisah lalu yang seolah-olah berlaku semalam. Selama bertahun-tahun belajar di IPG, aku hanya mendengar kisah dari pensyarah mengenai pengalaman mereka bekhidmat di pedalaman. Pada masa itu, aku hanya bayangkan kesusahan dan juga "kemanisan" semasa pensyarah aku bertugas di sana. Bagaimana pula jika aku berkhidmat di sana? Selepas tamat pengajian aku tidak menunggu terlalu lama untuk posting. Kali ini, kisah-kisah yang aku dengar menjadi satu realiti yang aku sendiri tak tahu bagaimana dan berapa lama perlu aku tempuhi? Adakah aku kuat mengharunginya dengan terpaksa meninggalkan ibu aku bersendirian jauh beribu batu di kampung halaman? Sebaik sahaja mendapat surat penempatan di Kuching, tertera nama "SK Long Sepiling, PPD Baram" sekolah ini merupakan sekolah pertama aku, sekolah yang bersejarah buat hidup aku! Sempat aku Google di mana lokasi sekolah ini, kalau dalam peta, nampak kedudukannya di tepi sungai. Mendengar cerita rakan sekolah ini P3. Mengharungi perjalanan yang sangat jauh dari Kuching ke Miri yang mengambil masa hampir 16 jam, kemudian sambung lagi perjalanan ke Marudi dengan keadaan jalan pada masa itu sangat teruk, hampir sehari untuk aku sampai ke Marudi. Di Marudi aku akan mendengar taklimat sebelum masing-masing bertolak ke stesen untuk bertugas. Ahhh berdebar-debar betul. Selasa 3 Februari 2015, tarikh keramat yang aku tak akan lupakan. Banyak betul persoalan yang bermain di fikiran. Pagi itu aku menaiki ekspress dari Marudi, menyusuri Batang Baram. Belum pernah aku tengok sungai sebesar itu. Kemudian ekspress menyusuri Batang Tinjar. aku terdengar kisah Batang Tinjar memang ada banyak buaya. Hampir 3 jam menyusuri 2 sungai akhirnya aku tiba di SK Long Sepiling. Fikiran aku menjadi kosong, hanya mengukir senyuman palsu. Ya Allah, aku dah betul-betul berada di muka pintu ekspress sambil melihat bangunan sekolah. Ya, betul memang kedudukan sekolah ini di tepi sungai. Sekolah ini tidak seperti sekolah di bandar, ia sebuah bangunan kayu. Sekolah dan kuaters guru bergantung kepada bekalan air hujan dan juga generator untuk bekalan elektik. Internet? Harap maaf! Aku mengambil masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri, aku sangat beremosi pada ketika itu. Ada konflik antara aku dengan persekitaran, susah untuk aku sesuaika diri. Di sekolah ini, semasa tahun pertama aku berkhidmat hanya ada 9 orang murid sahaja dari tahun 1 hingga tahun 6. Sebuah kelas paling ramai 2 orang dan paling sedikit 1 orang murid. Cabaran pertama aku nak wujudkan suasana kelas yang menyeronokkan. Sejujurnya aku tidak tahu bagaimana untuk mengajar dengan keadaan seperti ini, murid-murid pun mengantuk dan kelihatan tidak bermotivasi. Aku tidak menyalahkan mereka, tetapi ia cabaran bagi guru baru seperti aku. Tahun pertama, aku hanya pergi sekolah, mengajar dan kemudiannya balik. Hari-hari ulang rutin yang sama. Sehingga tahun pertama aku di sekolah berakhir begitu sahaja. "Cikgu Kita Boleh Menang ke?"Tahun 2015 juga SK Long Sepiling telah menyertai pertandingan Young Change Maker Award dan telah tersenarai sebagai Top 10 Finalist. InsyaAllah tahun ini sekolah kecil ini akan melebarkan sayapnya, dengan menyertai pertandingan bagi mencungkil bakat dan menaikkan semangat anak-anak di pedalaman. Aku sendiri tak tahu adakah kami mampu? Tahun 2016, aku melangkah ke sekolah dengan semangat baru. Semangat yang aku dapat dari rakan-rakan semasa berkursus Matematik pada hujung tahun 2015 di Sepang. Sebagai guru baru, perlu berada dalam kelompok rakan yang mempunyai aura yang positif. Ogos 2016, sekolah kami terpilih ke Bengkel Kid Witness New (KWN) di Nilai Hot Spring. Pertandingan yang kami sertai ini, merupakan pertandingan Video Pendek. Bukan main gembira anak-anak murid aku pada ketika itu, siapa sangka Story Board kami terpilih dan akan berentap dengan 30 pasukan lain yang hebat dari seluruh Malaysia. Ia juga merupakan pengalaman pertama buat 2 orang anak murid aku menaiki kapal terbang. Setibanya mereka di sana, mungkin ada sedikit perasaan malu dan rendah diri dalam diri anak-anak murid aku. Melihatkan gaya peserta lain, aku tak nafikan memang hebat malah ada sekolah yang ada studio dan Production Team sendiri dengan alatan yang canggih. Aku ambil peluang belajar dengan guru dari sekolah lain dan aku minta anak murid aku ambil peluang berkenalan dan belajar dengan rakan-rakan dari sekolah lain. "Cikgu kita boleh menang ke? Tengok mereka semua hebat" Soal anak-anak murid aku. "Kita cuba sebaik mungkin, kita pun boleh berjaya, mana tahu kita boleh menang, nanti balik sekolah kita buat elok-elok, buat betul-betul..." Kami menghabiskan masa hujung minggu hampir sebulan shooting. Alhamdulillah ada juga rakan yang bantu dan pinjamkan kamera. Aku demam teruk, dan menghadapi banyak masalah teknikal semasa shooting. Anak-anak murid aku penat sebab kena ulang banyak kali, ada sampai bergaduh sebab rakan tak hafal skrip. Bermacam-macam dugaan yang kami lalui, aku pula kena mainkan peranan, bina keyakinan, pujuk mereka jangan bergaduh. Fuh~ bukan senang ini pengalaman pertama aku lalui sebagai guru pembimbing pasukan untuk pertandingan Video KWN. Nak dijadikan cerita, CD yang kami hantar pula patah, terpaksa pula ke Miri meredah jalan ladang sawit yang teruk berjam-jam lamanya. Selepas hampir sebulan, aku terima e-mail SK Long Sepiling terpilih antara top 3 terbaik seluruh Malaysia. Mengalir air mata kegembiraan dan tak sabar aku nak beritahu berita ini kepada anak-anak murid. Sekali lagi aku bersama-sama 4 orang murid terbang ke Kuala Lumpur. Alhamdulillah kami mendapat tempat pertama dan menang kategori Skrip Terbaik. Kami juga akan mewakili Malaysia ke Jepun pada 2017. Ya Allah, sungguh aku tak percaya! Perjalanan dari Sepiling ke TokyoIa merupakan antara kenangan manis sepanjang aku berkhidmat sebagai guru di Pedalaman. "Cikgu kita boleh menang ke? Tengok mereka semua hebat" Anak-anak muridku, kita dah buktikan yang kita juga hebat! Jangan merendah diri dan tidak percaya pada kebolehan diri dan jangan pula sombong memandang rendah pada orang lain! Apu... Besarnya Robot Mereka Kalahlah kitaAlhamdulillah, rezeki anak-anak di SK Long Sepiling melimpah ruah, sejak kami menyertai pertandingan luar bertujuan memotivasikan mereka dan membuka minda mereka. Jika sebelum ini kalau aku tanya "nak kerja apa?" ada sahaja jawapan seperti ini "tak tahu" atau "kerja angkat sawit" Buatlah kerja apa pun, kena ada ilmu, angkat sawit pun kena ada ilmu, belajar jadi peladang, ikut arus peredaran zaman. Kemudian aku perkenalkan anak-anak di Pedalaman dengan robotik. Aku dah lama minat robotik, kawan aku di sekolah pedalaman Sabah juga galakkan anak-anak murid aku masuk. Mana nak cari duit untuk bawa mereka pergi bengkel? Mana nak cari duit untuk beli robot? Alhamdulillah aku pendekkan cerita, ada rakan-rakan di FB yang memberikan sumbangan. Perjalanan ke Miri untuk Bengkel RobotikSemasa pusingan kelayakan anak murid aku tepandang la robot dari sekolah lain, dengan spontan "apuuu... besarnya robot mereka, kalah laah kita..." Mereka tetap rendah diri dan kurang yakin dengan kebolehan diri. Apa yang penting usaha. Yakin boleh! Sekolah menghantar 2 pasukan untuk bertanding dan syukur Alhamdulillah di peringkat pusingan kelayakan kami berjaya dan akan ke Shah Alam untuk Grand Finale. Perjalanan Pertama Pasukan Robotik ke Shah AlamDi Shah Alam, nasib tak menyebelahi kami, kedua-dua pasukan tewas. Tahun 2019 kita cuba lagi! Kali ini penyertaan lebih ramai dari tahun sebelumnya. Pusingan kelayakan berlansung di Kuching dan kami dapat tahu keputusan selepas semua pusingan kelayakan di kesemua Zon selesai. Alhamdulillah, sekali lagi Pasukan Robotik SK Long Sepiling tersenarai dalam Top 30 dan pasukan kami antara 10 yang terbaik. Sekali lagi anak-anak ini terbang ke Shah Alam. Pada tahun ini juga kami menghantar penyertaan Invoasi yang ketuai oleh rakan aku. Pasukan inovasi ini pun rasa rendah diri dengan kemampuan mereka. Aku cuba untuk yakinkan mereka, "buat yang terbaik!" Aku teringat semasa di dalam stadium dari jauh aku memerhatikan salah seorang daripada 3 ahli dalam pasukan Inovasi. Semasa di tahun 2 dahulu, asyik menangis, PJ tak nak, makan di RMT tak nak. Apa lah nak jadi dengan anak murid aku ini nanti. Alhamdulillah aku rasa sebak dan tak percaya melihat dia sekarang sedang membentangkan hasil inovasi kepada pengunjung yang datang dengan senyuman dan nampak yakin! Di Shah Alam, pasukan Robotik sedikit kecewa mereka tidak menang. Buat pasukan Inovasi mereka gembira dan tak sangka menang pingat Perak dan Anugerah "Most Promising Team". Menang dan Kalah adat pertandingan, semua anak-anak murid dah buat yang terbaik. Melihat kekuatan mereka melawan rasa takut, gemuruh mengingatkan aku di zaman sekolah rendah dahulu, aku tiada peluang seperti ini. Kali ini aku sebagai guru, aku cuba beri peluang bermakna kepada mereka. Syukur kepada Allah s.w.t lihatlah anak-anak murid di pedalaman juga berjaya membuktikan mereka berjaya. Aku doakan mereka ini akan terus berjaya dan kuat mengharungi masa akan datang. Alhamdulillah, sepanjang aku bertugas di Pedalaman, ramai pihak yang menghulurkan bantuan, ramai yang menyokong usaha kami. Aku tak mampu nak balas jasa baik kalian semua. Tahun 2020 aku dipindahkan ke sekolah lain (redeployment) dalam daerah yang sama. Aku redha, aku pergi meninggalkan Long Sepiling dengan harapan anak-anak murid ini tidak lagi kedengaran soalan seperti ini "Cikgu kita boleh menang ke?" Paling penting usaha dan percaya pada diri sendiri. Sebagai guru dan masyarakat sokonglah usaha mereka, kerana anak-anak ini sangat berpotensi tak kira di mana mereka berada. Kurang yakin dengan kemampuan diri. Rasa rendah diri. Gurulah yang akan membimbing mereka, bina keyakinan dalam diri mereka. Kita hadir dalam hidup mereka sudah tentu ada makna dan sudah tentu ada ketentuan dari Allah s.w.t. Saat mereka berjaya kita gembira buat mereka, saat mereka sedih dan berduka, jadilah mata dan telinga mendengar kisah duka mereka. Pengalaman bertugas di Sarawak aku tak akan lupa sampai bila-bila. Kepada pembaca sekalian, harap kalian doakan urusan permohanan balik ke Pulau Pinang diterima. Aku tak dapat nak berpisah dengan ibu aku bersendirian di kampung halaman keseorangan dengan usia ibu aku pun makin bertambah. Akhir kata Selamat Hari Guru. Kita sedang mendidik "bakal pendidik" generasi akan datang.
1 Comment
kS
25/5/2020 03:26:54 pm
Tahniah cikgu dan anak-anak murid. Sungguh memberi inspirasi.
Reply
Leave a Reply. |
SUPPORT US
Telegram eMathPROJEK SEPILING YOUNG ENGINEER 100% Dana berjaya dikumpul. Terima Kasih Semua!
![]() Arkib
December 2020
KANDUNGAN
All
Bilangan Pengujung |