Nilai Tempat dengan Model CPA Maksud Nilai Tempat : the numerical value that a digit has by virtue of its position in a number. Hari ini saya akan berkongsi dengan rakan-rakan bagaimana saya mengajar tajuk nilai tempat kepada anak murid tahun 1 saya. Saya menggunakan Model CPA (Concrete – Pictorial – Abstract) Peringkat Concrete Pada peringkat Concrete saya memperkenalkan nilai tempat menggunakan Blok Dienes. Pada peringkat ini murid membilang satu-satu pada jadual nilai tempat. Blok Dienes yang berwarna merah diletakkan pada lajur nilai tempat sa. Sistem Nombor Asas Sepuluh Kenapa sistem nombor yang kita gunakan ada nilai tempat sa, puluh, ratus dan sebagainya? Kita sekarang ini menggunakan sistem nombor asas 10 ia sistem nombor yang digunakan oleh orang-orang Arab dan kini ia digunakan secara meluas. Secara ringkasnya, jika kita mengira biji getah contohnya dengan menggunakan sistem nombor asas 10, bila cukup atau genap bilangan biji getah yang ke sepuluh, ia akan dikumpulkan/gabung menjadi 1 kumpulan sepuluh. Pengiraan diteruskan sehingga ada 10 kumpulan sepuluh, maka 10 kumpulan sepuluh akan dikumpul/gabung menjadi 1 kumpulan seratus. Jika pengiraan diteruskan lagi sehingga ada 10 kumpulan seratus, ia akan digabungkan menjadi 1 kumpulan seribu dan seterusnya. Dalam sistem nombor asas 10, setiap kedudukan digit boleh mempunyai nilai integer antara 0 hingga 9. Contoh Nilai tempat sa, nombor yang boleh diletakkan di nilai tempat sa ialah antara 0 hingga 9 sahaja. Jika melebihi 9, ia akan dikira mula dikira di kedudukan yang lebih tinggi iaitu di nilai tempat puluh. Oleh sebab itu wujud nilai tempat untuk menunjukkan nilai digit bagi sesuatu nombor. Contohnya 123, 1 pada nilai tempat ratus menunjukkan nilai digitnya ialah 100, 2 pada nilai tempat puluh menunjukkan nilai digitnya 20 dan 3 pada nilai tempat sa menunjukkan nilai digitnya 3. Anda boleh layari blog taughtco.com untuk mendalami lagi sistem nombor asas 10. Muat Turun Jadual Nilai Tempat![]()
Apabila Blok Dienes cukup bilangan yang ke sepuluh ia akan digabungkan dan dipindahkan ke nilai tempat puluh. Kemudian saya membimbing murid dengan soal jawab. Saya: “ada berapa biji blok dienes di nilai tempat puluh?’ Murid: Ada 10 biji blok dienes cikgu Saya: “Ada berapa puluh di nilai tempat puluh?” Murid: “ada sepuluh cikgu…” Jawapan mereka sama seperti soalan yang saya ajukan sebelumnya. Pada masa ini saya membimbing murid dengan mencantumkan blok Dienes yang berwarna merah dan menggantikannya dengan blok Dienes yang berwarna biru. Blok Dienes berwarna biru ia telah dicantum. Saya: “Ada berapa puluh di nilai tempat puluh?” Murid: “Ada satu cikgu, ada satu sepuluh…” jawab salah seorang anak murid saya. Saya betulkan dengan menyebut “ada 1 puluh” Peringkat Pictorial Pada peringkat pictorial, saya menggunakan projektor dan komputer riba. Pada peringkat ini saya menggunakan bahan konkrit, bahan grafik (blok dienes yang dilukis pada aplikasi Paint X lite) dan menggabungkan nombor dengan grafik. ![]() Murid membina nombor menggunakan bahan konkrit. Saya paparkan pada skrin nombor 17 mereka membina nombor tersebut menggunakan lego. Kemudian saya meminta murid membina nombor 23. Murid lelaki saya mencantumkan sehingga 20 dan 3. Manakala murid perempuan membina 2 puluh lego dan 3 sa. Saya betulkan kembali konsep bagi anak murid lelaki. Murid lelaki membetulkan semula lego yang dibina supaya lego yang di bina ada menunjukkan 2 puluh dan 3 sa. Peringkat Abstract Bagi peringkat abstract saya suka menggunakan imaginasi dan mengimbas semula apa yang telah dipelajari. Saya memaparkan nombor dua digit iaitu 23 pada skrin. Kemudian saya menyoal murid. Saya: Apakah nilai tempat bagi digit dua? Cuba ingat semula semasa kita buat nombor tu menggunakan lego. Senangkan peringkat abstract, jika konsep murid secara concrete kukuh, murid dapat menggunakan imaginasi mereka untuk membayangkan 23 sebagai gambaran pada minda mereka. Sebenarnya menarik sangat untuk mengajar nilai tempat. Setelah anak murid saya benar-benar kukuh dengan nilai tempat. Saya akan move on dengan aktiviti yang lebih menyeronokkan. Biasanya saya akan suka timbulkan kontrovesi supaya mereka berkomunikasi antara satu sama lain. Eh salah la cikgu, bukan macam tu. Antara permainan yang saya buat murid perlu mencari nombor yang mempunyai digit yang sama pada nilai tempat dan nilai digit. Bahan yang diperlukan simple jer. 10 Bekas botol, pen marker, sticky note dan blok Dienes. Saya menyediakan 10 bekas yang diisi blok Dienes. 5 Bekas yang mempunyai digit yang sama pada nilai tempat sa dan nilai tempat puluh dan 5 bekas lagi tidak mempunyai digit yang sama pada nilai tempat sa dan nilai tempat puluh. Murid dikehendaki menulis kuantiti blok Dienes pada bekas dengan menggunakan sticky note dan pen marker. Langkah ini memudahkan murid dapat mengenal pasti bekas mempunyai digit yang sama pada nilai tempat sa dan nilai tempat puluh. 5 Bekas yang mempunyai digit yang sama pada nilai tempat sa dan nilai tempat puluh, nombor-nombor berikut ialah a) 11 ada dua bekas b) 44 ada dua bekas c) 55 satu bekas je Bekas a) dan bekas b) sangat senang, tak perlu kira, murid tengok pun dah dapat agak ada berapa puluh. Saya sengaja sediakan bekas dengan kuantiti blok Dienes seperti di atas sebab saya nak tengok ada tak anak murid saya membuat anggaran (walaupun kita tak ajar, tapi anak-anak murid ni dapat terokai sendiri, cuma dia tak tahu bahawa itu anggaran sedangkan yang mereka lakukan adalah proses menggangar. Alhamdulillah, anak murid perempuan saya dia berjaya menganggar bekas a) dan b). Murid mengambil bekas dan mengira bilangan blok dienes. Mereka mengira berdasarkan "berapa bilangan puluh" dan "berapa bilangan sa" Murid mengira, menulis dan kemudiannya menampal sticky note pada bekas yang mengandungi blok dienes. OK, selepas semua bekas berjaya di ambil dan murid telah menulis bilangan blok dienes. Next, tukar tempat dan semak jawapan yang kawan masing-masing tulis. Semasa murid menyemak, secara tidak lansung mereka dah mengira dan menulis 10 nombor. Kemudian giliran saya pula yang menyemak, semak ye bukan buat "semak" hihi. Tekunnya diorang menjawab soalan. Sebelum saya tamatkan kelas, saya cuba imbas semula aktiviti yang telah dijalankan dengan sesi soal jawab menggunakan bahan-bahan yang telah dilakukan semasa aktiviti. Saya menyoal murid tentang nilai tempat pada nombor yang telah mereka tulis.
3 Comments
ima
9/4/2017 04:37:17 pm
Tahniah cikgu kerana berkongsi. Aktiviti sangat menarik dan menyeronokkan. boleh tak cikgu kongsikan cara cikgu memperkenalkan konsep tambah dan tambah dalam lingkungan 10. terima kasih and keep up the good work. well done
Reply
Cikgu Saffuan
13/4/2017 11:00:21 am
InsyaAllah jika ada kesempatan saya akan kongsikan...
Reply
Cikgu Alin
21/1/2018 09:31:54 pm
beli kt mana blok dienes tu
Reply
Leave a Reply. |
SUPPORT US
JOM BERI SUMBANGAN KEPADA PROJEK SEPILING YOUNG ENGINEER
![]() Arkib
October 2019
KANDUNGAN
All
Bilangan Pengujung |